Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk tekni k yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.
Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya, kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.
Konstruktur Yang Ditaksir
Perkembangan Fizikal dan Estetika
Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan
- Kemahiran motor halus
- Kemahiran motor kasar
- Kemahiran menjaga kebersihan diri
- Mengamalkan tabiat pemakanan yang berkhasiat
- Kemahiran menjaga kebersihan persekitaran
- Mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit
- Pengetahuan tentang sumber bahaya
asnizar.blogspot.com